Sunday, October 10, 2010

aplikasi seni dalam pengajaran

Aplikasi seni dalam pengajaran.

Seni merupakan sesuatu yang subjektif untuk digambarkan. Seni itu indah dan halus. Seni bukan sahaja diaplikasikan dalam satu bidang tetapi dalam beberapa bidang seperti seni suara, seni tari dan seni lakon. Kesemua seni yang dinyatakan tadi merupakan seni yang memerlukan pergerakan, suara, dan ekspresi dalam melahirkan sesuatu yang indah dari dalam diri kita. Seni juga diaplikasikan dalam pengajaran. Pengajaran memerlukan pemahaman dan pemahaman memerlukan tarikan yang menarik dan kreatif. Seni yang disematkan dalam setiap pengajaran haruslah memberi satu nilai dalam jangka masa yang panjang dan memberi impak yang positif untuk seseorang individu.

“seni adalah hasil daripada kreatif dan kritis dari pemikiran seseorang manusia yang diolah secara halus dan sederhana”. (Pahlawi Web Al. Mei 2007). Kenyataan tadi mendefinisikan seni sebagai satu pergerakan yang dinamik dan pemikiran logik manusia yang diwujudkan melalui ketekunan dan kehalusan budi yang ditentukan oleh ilmu, moral, dan ketakwaan manusia terhadap sang pencipta. Seni juga merupakan satu disiplin ilmu yang bersama-sama terbentuk dalam mencapai kedewasaan akhlak dan tabiat seseorang muslim seperti jujur, rajin , taqwa serta sabar. Apabila dasar pembelajaran seni ini diterapkan, pembelajaran menjadi lebih lengkap dari pelbagai aspek.

Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen tersebut ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengari.

Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan. Tanpa warna kehidupan akan menjadi tidak bermakna. Semestinya, kehidupan akan menjadi bosan dan tidak menarik. Warna juga turut digunakan dalam seni dalam pendidikan iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual. Warna memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan sesebuah kebudayaan, emosi. dan maksud dalam karya seni visual.

Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Irama dapat dinyatakan sebagai rentak yang berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam kehidupan kita seharian, kita semestinya akan menemui pelbagai irama. Sebagai contoh bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di sinki dan sebagainya. Semua ini merupakan irama yang wujud disekeliling kita tanpa kita sedari dan kebanyakan ianya berlaku setiap masa.. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan corak yang berulang dan susunan sekata yang mewujudkan pergerakan.

Kanak-kanak akan mula memahami sesuatu kemahiran yang berbentuk irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat meransang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktviti dengan lebih seronok dan bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktviti seperti melompat sambil mengikut irama muzik.

Irama yang diaplikasikan dalam pengajaran akan menjadikan pelajar banyak melakukan pergerakan dan secara tidak langsung, elemen yang ketiga dipenuhi. Elemen-elemen seni dalam pengajaran ini menjadi satu hubung kait yang kukuh dalam menjadikan pengajaran lebih efektif dan kreatif. Kanak-kanak akan menjadi lebih terdorong untuk memahami sesuatu perkara secara seronok. Kesimpulannya, guru perlu mengambil langkah dalam memanipulasikan elemen seni dalam pengajaran supaya pengajaran mereka akan menjadi lebih berkesan.

Menurut Kenneth M.Lansing ( 1973 ) dalam bukunya Art, Artist dan Art Education menyatakan bahawa aktviti pendidikan seni yang wujud boleh berfungsi sebagai satu cabang komunikasi. Kebolehan guru dalam menyampaikan pengajaran dan menggunakan kaedah yang betul akan dapat memenuhi keperluan. Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Seni Dalam Pendidikan sebenarnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh,bergerak dan berfikir dalam setiap aktviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif.

Sumber

1. http://massofa.wordpress.com/2008/02/03/metode-pengajaran-seni-di-tk/

2. http://www.dikti.org/?q=node/667

3. http://www.slideshare.net/guest4b329ff/muzik-dan-pergerakan-3687914

4. http://www.slideshare.net/syazayasmin/dalcroze

5. http://afand.cybermq.com/post/detail/5341/pengertian-tari-seni-tari

No comments:

Post a Comment